AL-FATIHAH : buat bekas Suprintendan G/8189 Azzmin bin Mustaffa. Allahyarham berusia 56 tahun yang sebelum ini menerima rawatan di CCU Hospital Serdang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 8 Jun 2012 jam 8.00 malam akibat penyakit komplikasi jantung, buah pinggang dan kencing manis. Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Suprintendan Unit E6C4, Bahagian Keselamatan, Cawangan Khas Bukit Aman, meninggalkan seorang balu serta 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 orang perempuan. Jenazah Allahyarham turut diziarahi oleh DCP Dato' Sharifuddin bin Ab Ghani, Ketua Polis Pahang, DCP Dato' Leo Chong Cheong, Timbalan Pengarah II Cawangan Khas, Dato' Othman bin Harun, mantan Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pegawai-pegawai Kanan serta anggota di Hospital Serdang sebelum dibawa ke kampung halaman Allahyarham untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Sireh, Kota Baharu, Kelantan pada jam 11 pagi tadi. Allahyarham telah memulakan kerjayanya dalam PDRM pada 1 Oktober 1977 dan bersara pada 1 Jun 2011. Sepanjang kariernya, Allahyarham telah berkhidmat selama 26 tahun di Cawangan Khas Bukit Aman. Allahyarham juga merupakan salah seorang bekas pemain bola sepak Harimau B yang mewakili negara pada era 80-an. Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dan seluruh warga PDRM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
by: Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )
No comments:
Post a Comment